9 Panduan didik anak minta maaf dengan beradab

Meminta maaf membantu mendidik anak-anak agar menjadi seorang individu yang bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. Ia juga merupakan langkah terbaik untuk memperbetulkan keadaan. Latihan yang dijadikan rutin sejak kecil pastinya akan memudahkan anak-anak untuk bersosial setelah memasuki alam persekolahan.

Dengan kemahiran meminta maaf yang baik, mereka sebenarnya belajar untuk bersifat rendah hati dan hormat-menghormati.

Berikut adalah 9 panduan kepada ibubapa dalam mendidik anak-anak meminta maaf dengan beradab;

1. ROLE MODEL
Didik anak terima kenyataan bahawa mereka telah melakukan kesilapan. Dalam hal ini, ibubapa memainkan peranan utama sebagai model. Apabila melakukan kesalahan, anda harus berani mengakuinya dan memohon maaf sesegera mungkin.

2. MULAKAN SEJAK KECIL
Pantau anak-anak sewaktu bergaul bersama teman-temannya. Ketika mereka melakukan kesalahan sama ada sengaja atau tidak sengaja, perkara pertama adalah ibubapa perlu jelaskan terlebih dahulu kenapa mereka perlu meminta maaf. Dan ini akan mengajar mereka erti bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.

3. DENGAR KELUHAN ANAK
Beri ruang pada anak untuk menerangkan masalah atau apa yang berlaku. Dengar dengan baik dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Jangan terlalu cepat menghukum kerana anak kecil biasanya tidak tahu perbuatan mereka itu adalah satu kesalahan.

4. BERI MASA, TIDAK PAKSA
Beri ruang dan tidak memaksa anak untuk memohon maaf sekiranya mereka enggan. Secara lazimnya anak-anak tidak suka dipaksa melakukan sesuatu yang mereka tidak suka. Jika dibuat dalam keterpaksaan, mereka tidak akan dapat belajar erti kemaafan yang sebenar. Jadi beri mereka masa namun usah berhenti berpesan.

5. LAHIRKAN EMPATI
Lahirkan empati dalam jiwa anak-anak. Terangkan kesan yang diterima orang lain atas perbuatan mereka. Jika mereka diperlakukan sebegitu, adakah mereka boleh menerimanya dengan gembira? Dari situ, anak-akan faham asbab perbuatan mereka, ada orang lain yang terpaksa menanggung kesannya. Maka, mereka akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan.

6. MEMINTA MAAF DAN MEMAAFKAN
Terangkan kepada anak-anak bahawa proses meminta maaf sebaiknya disusuli dengan memaafkan. Terapkan kepada mereka agar bersikap lebih terbuka dan tidak berdendam. Didik mereka untuk memaafkan kesalahan orang lain untuk meraih rasa tenang dan berhubungan dengan lebih seronok di masa akan datang.

7. MINTA MAAF APABILA MENGGANGGU KESELESAAN ORANG LAIN
Meminta maaf bukan semata-semata ketika melakukan kesalahan. Jelaskan kepada anak tentang perkara yang mengganggu keselesaan orang lain dan perlu meminta maaf kerana-nya. Sebagai contoh, ketika sendawa, bersin, batuk, mahu beredar dari sesuatu aktiviti dan sebagainya yang mengundang ketidakselesaan orang sekeliling.

8. JADIKAN IA SATU KEBANGGAAN
Beri dorongan agar lahir rasa gembira terhadap apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh, betapa kita seronok ketika melihat mereka mengambil berat tentang orang lain dan meminta maaf setelah membuatkan orang lain terluka. Tekankan bahawa meminta maaf adalah sifat yang terpuji dan disukai.

9. PELBAGAI CARA MEMOHON MAAF
Permohonan maaf boleh diluahkan melalui tingkahlaku, kata-kata dan coretan bertulis. Bergantung kepada situasi dan kecenderungan anak-anak itu sendiri. Biarkan mereka berkarya dalam meminta maaf. Meninggalkan nota maaf dipintu bilik ibubapa kerana pulang lewat setelah bermain, merupakan sesuatu yang sangat manis untuk dikenang.

Latih anak berjabat tangan sambil memandang ke wajah dan mengucapkan kata maaf. Ucap terima kasih kepada anak setelah mereka meminta maaf dengan baik. Mereka akan cenderung berasa selamat dan dihargai kerana berakhlak mulia.

Meminta maaf bukan lambang kelemahan seseorang, namun itulah tanda ketinggian budi dan adab dalam diri mereka. Gambarkan kepada anak-anak, sikap ini membuatkan hidup lebih bermakna dan harmoni.

Elakkan mengungkit kesalahan anak setelah mereka meminta maaf agar mereka tidak sekadar menjadi individu yang ikhlas memohon maaf, namun berjiwa besar sebagai pemaaf yang baik juga.

#yeskl
#yesmakingapology
#yesmemintamaaf

Add your thoughts

Your email address will not be published. Required fields are marked *